1.0 Pengenalan
Sudah menjadi impian setiap pasangan suami isteri untuk
mendapat zuriat yang berpotensi tinggi dan berkeupayaan mencapai kecemerlangan
dalam bidang yang diceburi apabila mereka dewasa kelak. Tambahan pula dengan
corak kehidupan masa kini yang banyak memberi penekanan terhadap pencapaian
intelek yang tinggi serta kemahiran yang
sesuai dengan kehendak masyarakat dan negara.
Namun begitu, tidak semua kanak-kanak ini dilahirkan normal
dan mengalami masalah pembelajaran yang perlu dikesan kekurangan tersebut dari
peringkat awal lagi oleh ibu bapa dan guru. Ibu bapa perlu peka dengan setiap
aktiviti atau tindak balas yang tidak
normal yang dilakukan oleh kanak-kanak ini. Mereka tidak boleh menganggap bahawa
perubahan positif akan berlaku apabila meningkat remaja tanpa rawatan dan
terapi yang khusus oleh pihak yang berwajib.
1.1 Latar
belakang Kurikulum Pendidikan Khas
Falsafah pendidikan
khas adalah satu usaha yang berterusan untuk menggalakkan perkembangan optima
seseorang individu sebagai seorang yang berkemahiran, berhaluan, berupaya,
berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sendiri sebagai
seorang individu dan ahli masyarakat
yang seimbang dan produktif
selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Bagi memenuhi dan kehendak
falsafah pendidikan khas, kurikulum yang dibina berlandaskan 3 prinsip utama :
1.1.1 Pendidikan menyeluruh dan bersepadu yang
memberi fokus kepada potensi
individu meliputi aspek
jasmani, emosi, rohani dan intelek serta social.
1.1.2 Pembelajaran yang menggembirakan dan
bermakna merujuk kepada proses pengajaran dan
pembelajaran yang dapat merangsang dan mengekalkan minat murid berkeperluan khas kepada pembelajaran.Ini
bermakna pembelajaraan yang kondusif perlu diberi penekanan agar murid dapat
menguasai pengetahuan dan kemahiran yang dapat digunakan untuk dirinya dan juga
masyarakat amnya.
1.1.3 Pendidikan sepanjang hayat pula memberi
fokus pemerolehan ilmu pengetahuan dan
kemahiran di alam persekolahan yang
dapat menjana penguasaan ilmu secara
berterusan untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Manakala objektif pendidikan khas pula adalah untuk
menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan
bagi murid-murid berkeperluan khas dan juga menyediakan pendidikan yang
sesuai dan relevan kepada setiap murid dengan keperluan
khas.Selain itu, objektif pendidikan khas juga member peluang kepada murid
pendidikan khas ini untuk mengembangkan bakat dan potensi mereka di samping menguasai kemahiran asas 3M serta
membina keyakinan diri yang positif terhadap pembelajaran.
Menurut Jamila K.A Mohamad (2005), pendidikan khas bukan
sahaja perlu diketahui oleh mereka yang berkeperluan khas tetapi ia perlu
diketahui oleh semua masyarakat
terutama sekali warga pendidik. Menurutnya lagi, tanpa pengetahuan
tentang pendidikan khas menyukarkan guru untuk mengenalpasti masalah
pembelajaran yang dihadapi oleh seseorang murid itu. Tanpa pengetahuan yang
mendalam juga akan mengakibatkan pelbagai lontaran stigma diberikan kepada
kanak-kanak ini yang menyebabkan kanak-kanak ini digelar sebagai malas, bodoh,
degil, nakal dan sebagainya. Situasi ini akan menyebabkan murid-murid tersebut
tidak berkeyakinan diri dan sentiasa mempunyai tingkahlaku negatif yang
menimbulkan masalah kepada guru dan pengajaran pembelajaran tersebut.