Monday, 1 December 2014

APA ITU KURIKULUM PENDIDIKAN KHAS??


1.0 Pengenalan

Sudah menjadi impian setiap pasangan suami isteri untuk mendapat zuriat yang berpotensi tinggi dan berkeupayaan mencapai kecemerlangan dalam bidang yang diceburi apabila mereka dewasa kelak. Tambahan pula dengan corak kehidupan masa kini yang banyak memberi penekanan terhadap pencapaian intelek yang tinggi serta  kemahiran yang sesuai dengan kehendak masyarakat dan negara.

Namun begitu, tidak semua kanak-kanak ini dilahirkan normal dan mengalami masalah pembelajaran yang perlu dikesan kekurangan tersebut dari peringkat awal lagi oleh ibu bapa dan guru. Ibu bapa perlu peka dengan setiap aktiviti  atau tindak balas yang tidak normal yang dilakukan oleh kanak-kanak ini. Mereka tidak boleh menganggap bahawa perubahan positif akan berlaku apabila meningkat remaja tanpa rawatan dan terapi yang khusus oleh pihak yang berwajib. 

1.1       Latar belakang Kurikulum Pendidikan Khas

 Falsafah pendidikan khas adalah satu usaha yang berterusan untuk menggalakkan perkembangan optima seseorang individu sebagai seorang yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta   menyedari potensi diri sendiri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat  yang  seimbang dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Bagi memenuhi dan kehendak falsafah pendidikan khas, kurikulum yang dibina berlandaskan 3 prinsip utama :

1.1.1    Pendidikan menyeluruh dan bersepadu yang memberi fokus kepada potensi                       
individu meliputi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek serta social.

1.1.2    Pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna merujuk kepada proses                         pengajaran dan pembelajaran  yang dapat merangsang  dan mengekalkan minat murid   berkeperluan khas kepada pembelajaran.Ini bermakna pembelajaraan yang kondusif perlu diberi penekanan agar murid dapat menguasai pengetahuan dan kemahiran yang dapat digunakan untuk dirinya dan juga masyarakat amnya.

1.1.3    Pendidikan sepanjang hayat pula memberi fokus pemerolehan ilmu pengetahuan    dan kemahiran di alam persekolahan  yang dapat menjana penguasaan ilmu  secara berterusan untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Manakala objektif pendidikan khas pula adalah untuk menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan  bagi murid-murid berkeperluan khas dan juga menyediakan pendidikan yang sesuai  dan relevan  kepada setiap murid dengan keperluan khas.Selain itu, objektif pendidikan khas juga member peluang kepada murid pendidikan khas ini untuk mengembangkan bakat dan potensi mereka  di samping menguasai kemahiran asas 3M serta membina keyakinan diri yang positif terhadap pembelajaran.


Menurut Jamila K.A Mohamad (2005), pendidikan khas bukan sahaja perlu diketahui oleh mereka yang berkeperluan khas tetapi ia perlu diketahui oleh semua masyarakat   terutama sekali warga pendidik. Menurutnya lagi, tanpa pengetahuan tentang pendidikan khas menyukarkan guru untuk mengenalpasti masalah pembelajaran yang dihadapi oleh seseorang murid itu. Tanpa pengetahuan yang mendalam juga akan mengakibatkan pelbagai lontaran stigma diberikan kepada kanak-kanak ini yang menyebabkan kanak-kanak ini digelar sebagai malas, bodoh, degil, nakal dan sebagainya. Situasi ini akan menyebabkan murid-murid tersebut tidak berkeyakinan diri dan sentiasa mempunyai tingkahlaku negatif yang menimbulkan masalah kepada guru dan pengajaran pembelajaran  tersebut.







No comments:

Post a Comment